BAB 3 Surat Menyurat
Pada
suatu petang, selang beberapa hari kemudian, Isabella pergi lagi ke taman yang
sama tempat dia mendengar perbincangan dua orang Muslim yang hebat itu. Tidak
lama setelah dia mengambil tempatnya yang biasa, Umar Lahmi dan Maaz pun tiba.
Mereka duduk di tempat yang dulu juga. “Aku telah mendengar satu laporan yang
aneh dan menarik hari ini.” kata Umar Lahmi.
“Apa dia?” tanya Maaz dengan agak terkejut.
“Keraguan yang tuan timbulkan mengenai salah satu ayat di dalam surat St Paul
tempoh hari,” kata Umar Lahmi, “rupanya telah sampai ke telinga ketua paderi.
Akibatnya, satu keributan telah terjadi di kalangan para paderi. Sehingga ada
orang yang berfikiran sihat telah menjadi ragu-ragu.”
Mendengar cerita sahabatnya itu, Maaz dengan tenang menjawab, “Ya, itu hanyalah
khabar angin saja atau gunjingan belaka. Siapa gerangan yang ada mendengar
perbincangan kita?”
Umar Lahmi agak gempar melihat tanggapan Maaz yang dingin terhadap berita
penting yang telah disampaikannya.
“Siapa yang mendengar perbincangan kita, kata tuan? Takkanlah tak ada angin
pokok boleh bergoyang? Paderi-paderi itu menjadi begitu heboh.”
“Jadi, apa yang menyebabkan mereka itu heboh begitu sekali?” tanya Maaz apabila
melihat kegusaran sahabatnya. “Apakah ini kali pertama paderi-paderi itu
mendengar keraguan kita?”
“Sebab-sebabnya aku sendiri pun tidak tahu tetapi apa yang aku dengar ialah
para paderi itu sudah mula gelisah kerana keberatan-keberatan kita itu.
Beberapa kali mesyuarat telah mereka adakan untuk mencari jawaban. Berita itu
sampai kepadaku melalui sumber-sumber Kristian.” kata Umar Lahmi.
Mendengar
penjelasan sahabatnya, Maaz tersenyum kecil. Hatinya merasa geli.
“Baru cuma satu bantahan saja paderi-paderi itu sudah heboh demikian rupa.
Bagaimana pula kepercayaan-kepercayaan Kristian yang lain yang menggelikan itu?
Dosa yang dilakukan Adam hukuman dikenakan kepada semua anak cucunya. Seluruh
umat manusia dicalit dengan noda dosa itu. Apakah kepercayaan ini ada mempunyai
dasar kebenaran? Sebagai pembalasan terhadap dosa semua pembuat dosa, orang
yang tidak berdosa dikenakan hukuman dan disuruh pikul beban semua dosa.
‘Putera Tuhan’ turun ke bumi lalu disalibkan. Tidakkah hal ini sudah melampaui
batas, menjadikan Tuhan seorang yang lemah dan tidak berdaya? Kalau benar
orang-orang Kristian itu ada mempunyai jawaban terhadap semua soalan ini, sila
maju ke depan dan jelaskan kepadaku.”
Umar
Lahmi ketawa besar mendengar kata-kata Maaz. Sambil mengesat air mata, dia
berkata,”Kalau bukan orang Kristian yang sanggup mengada-adakan hal yang
bukan-bukan serupa itu, siapa lain lagi yang boleh mengadakannya? Semua orang
boleh bercakap secara wajar tetapi mesti pula ada orang yang bercakap kosong.”
Setelah diam sejenak, Maaz lalu berkata perlahan seolah-olah seperti kepada
dirinya sendiri.
“Aku fikir sudah sampai masanya kita mengeksploitasi keributan yang timbul
sekarang ini.”
“Itu satu cadangan yang baik.” sahut Umar Lahmi dengan cepat. “Kita mesti
keluarkan poster yang berisi dengan segala macam kepercayaan Kristian yang
bukan-bukan itu.”
“Bagus.” Maaz menyampuk. “Akan menimbulkan keributan di kalangan orang-orang
Kristian di seluruh negeri Sepanyol.”
Isabella
bersama-sama dengan dua orang sahabatnya yang duduk di salah satu sudut taman
yang berhampiran dengan tempat kedua orang Muslim itu, mendengar semua
percakapan tersebut. Wajah mereka yang putih bersih menjadi kemerah-merahan
kerana menahan geram. Akhirnya, dia tidak dapat lagi menahan perasaan hatinya
lalu dia berkata kepada kedua orang sahabatnya.
“Ini tidak boleh jadi. Kita mesti menyangkal semua tuduhan mereka dan kita
mesti melakukan apa saja untuk menyakinkan mereka. Mudah-mudahan Tuhan Kristus
akan menarik mereka ke sebelah kita. Andaikata orang-orang Muslim ini dapat
dikristiankan, alangkah besarnya kemenangan bagi dunia Kristian. Dengan itu,
sekaligus orang-orang Muslim yang lain tidak dapat menegakkan kepala mereka
lagi di negara ini.”
Sambil mengucapkan kata-kata akhir itu, Isabella mengangkat muka dengan
bersungguh-sungguh memanjatkan doa meminta Tuhan membawa orang-orang kafir ini
dan musuh kaum Kristian masuk ke dalam pelukan agama Kristian. Dengan demikian,
semakin nyatalah keagunganNya.
“Isabella,”
ujar salah seorang sahabatnya sebaik-baik saja Isabella menundukkan muka
semula. “Orang-orang kafir ini sangat keras kepala. Bagaimana mereka boleh
meninggalkan syaitan dan menyambut tangan Tuhan Kristus? Tambahan pula, yang
sulit adalah paderi-paderi kita sendiri. Mereka takut kepada orang-orang
Muslim. Macam kelmarin saja, setelah aku melihat kegusaran kau tentang keraguan
mereka terhadap hukum-hukum agama kita dan tentang kutukan yang mereka
perkatakan, aku tanya kepada paderi gereja kita. Mereka buat acuh tak acuh saja
sambil berkata tak usah hiraukan sangat apa yang dikatakan oleh orang-orang
Muslim itu. Jawaban mereka bukan pembahasan tetapi hunusan pedang. Bila sikap
paderi-paderi kita serupa itu tak hairanlah kalau orang-orang Muslim semakin
angkuh.”
“Masalahnya
bukan paderi-paderi kita tidak mahu berbincang dengan orang-orang yang tidak
beriman itu atau sengaja mendiamkan diri.” kata Isabella menjawab komen
sahabatnya. “Diam mereka bukanlah bererti mereka tidak dapat menghuraikan
masalah tetapi mereka mahu jaminan kalau nanti sesudah diberi keyakinan, semua
orang-orang Muslim itu bersedia memeluk agama Kristian. Maka paderi-paderi kita
dengan senang hati mahu berhadapan dengan mereka.”
Sahabat
Isabella diam sejurus mendengar kata-kata Isabella. Dalam kepalanya terlintas
satu idea.
“Bagaimana kalau kita minta satu pengakuan bertulis daripada orang-orang Muslim
itu bahwa mereka bersedia bersemuka dengan paderi-paderi kita. Dengan surat itu
pula kita boleh mendesak cendekiawan Kristian untuk bercakap dengan orang-orang
Muslim itu dan memaksa mereka memeluk agama kita.”
“Cadangan itu baik sekali. Tetapi apakah orang-orang Muslim itu bersedia
menerima?” tanya Isabella sedikit ragu.
“Mengapa pula tidak?” Bukankah kau juga baru mendengar dari mulut mereka
sendiri?”
“Kalau begitu kenapa mesti kita tunggu lagi? Di sini juga kita beritahu mereka
agar bersedia berbincang dengan paderi-paderi kita. Aku akan tuliskan secarik
surat yang akan aku sampaikan kepada mereka dan lihat apa jawabannya.” kata
Isabella dengan perasaan gembira.
“Tetapi …!”
“Tetapi apa lagi?” Isabella yang baru mahu mengeluarkan pena dan kertas dari
begnya terhenti sebentar lalu memandang wajah sahabatnya dengan ragu-ragu.
“Tetapi bukankah baik kita mendapatkan jaminan daripada paderi-paderi kita
lebih dulu? Nanti apa akan jadi kalau orang-orang kafir itu bersedia dan
paderi-paderi kita menolak?”
Kalau orang-orang ini sudah membuat perjanjian dengan bertulis bahwa mereka
akan memeluk agama Kristian apabila sudah diyakinkan kebenarannya,” ujar
Isabella, “maka cendekiawan kita sudah pasti mahu berdialog dengan mereka.”
Mendengar penjelasan itu, sahabatnya pun diam.
Isabella
mengeluarkan pena dan secarik kertas lalu menulis:
Maafkan
saya. Saya telah mendengar dengan penuh perhatian perbincangan rahsia tuan-tuan
itu. Bersebab kami juga berminat dalam masalah-masalah yang berkaitan dengan
agama, saya percaya tuan-tuan tidak keberatan dengan gangguan saya ini. Saya
telah mendengar salah seorang daripada tuan ada berkata kepada temannya bahwa
jika kami penganut Kristian dapat memberi penjelasan yang memuaskan tentang
perhubungan antara hukum-hukum agama dengan kutukan, tuan bersedia memeluk
agama kami. Tuan juga mahu mencabar kami, orang-orang Kristian, tentang
hukum-hukum agama dan kutukan. Jadi, sebagai hamba Tuhan Jesus Kristus, kami
dengan sangat senang hati menyambut cabaran tuan dengan syarat tuan membuat
pengakuan bertulis.
Hamba
hina agama Kristian
Surat
itu telah diserahkan oleh sahabat Isabella kepada Umar Lahmi. Agak terperanjat
juga Umar kerana tiba-tiba saja seorang anak gadis datang menyerahkan surat
serupa itu kepadannya. Gadis itu pula tidak dikenali sebelumnya. Maaz memandang
sahabatnya dengan pandangan yang berisi pertanyaan.
“Surat apa ini?” tanya Umar Lahmi kepada sahabat Isabella.
“Dari teman saya. Dia sedang menunggu jawaban tuan.” jawab gadis itu.
Umar
Lahmi menyambutnya dengan perasaan yang berdebar-debar. Dia membuka lipatan
surat sambil dahinya berkerut-kerut. Setelah membaca isinya, wajah Umar kembali
berseri-seri. Dengan senyum kecil, dia menunjukkan surat itu kepada Maaz. Maaz
mengangguk-anggukkan kepala dan memberi isyarat kepada Umar Lahmi supaya
menjawab segera.
Umar
Lahmi pun mengeluarkan kertas dan pena lalu menulis:
Kami
mengucapkan terima kasih di atas susah payah nona. Kami bersetuju sekiranya
anggota-anggota gereja dapat memberi penjelasan kepada kami tentang dilema
hukum-hukum agama dan kutukan dengan penjelasan yang memuaskan, saya dan
sahabat saya akan memeluk agama Kristian. Sila nyatakan tempat dan tarikh
perbahasan akan diadakan.
Hamba
hina agama Islam
(Umar Lahmi)
Setelah
selesai ditulis dan ditandatangani, surat itu pun diserahkan kepada sahabat
Isabella yang segera pula kembali ke tempatnya semula. Isabella sangat gembira
menerima balasan surat tersebut, lebih-lebih lagi apabila dia mengetahui bahwa
rancangannya dipersetujui oleh kedua pemuda Muslim itu. Dia segera membalasnya.
Tentang
masa dan tempat, saya sendiri akan datang memberitahunya esok.
Hamba
yang hina
Surat
itu ringkas saja dan setelah disampaikan kepada Umar Lahmi, mereka pun beredar
dari tempat itu dengan satu masalah baru pula. Siapa gerangan orang yang akan
berhadapan dengan orang-orang Muslim itu. Sebaik saja keluar dari taman Cordova
itu, Isabella terus saja ke tempat gurunya yang baik hati. Diceritakan kesemua
yang berlaku tadi kepadanya. Guru itu yang juga seorang paderi adalah seorang
yang benar-benar mengetahui semua masalah agama. Ketika dia melihat Isabella
dalam keadaan resah gelisah, dia pun memarahinya dan memberitahu itu bukan
suatu masalah besar yang boleh sampai merunsingkan fikiran. Isabella lalu
menunjukkan surat Umar Lahmi.
Apabila
guru itu membaca surat tersebut, dia pun bersetuju mahu membahas perkara itu
dan merasa seseorang yang berpengalaman dan terkemuka patut ikut mengambil
bahagian. Kesediaan gurunya membuat hati dan perasaan Isabella yang gundah
menjadi tenteram dan membolehkannya pulang ke rumah dalam keadaan selesa. Guru
itu berjanji akan menetapkan tempat dan tarikh sebelum tengah hari esok.
Malam
itu, Isabella tidak dapat tidur dengan nyenyak. Berbagai-bagai macam persoalan
terus menerus menghantui fikiran. Apa akan terjadi sesudah esok hari? Andaikata
cerdikpandai Kristian tidak dapat memberi penjelasan yang memuaskan kepada
orang-orang Muslim, maka orang Kristian akan dipertakuti sepanjang zaman.
Akhirnya, pagi pun tiba. Setelah selesai membersihkan dirinya, Isabella
mengambil Kitab Injil dan mentelaahnya. Menjelang tengah hari barulah dia
keluar dan mengajak kedua orang sahabatnya yang akrab pergi ke rumah guru. Di
sana mereka melihat sudah ramai paderi yang berkumpul seolah-olah mereka sedang
menunggu seseorang yang penting. Apabila orang yang ditunggu itu tiba maka dia
pun dipersilakan duduk di sebuah kerusi yang khas.
Guru
Isabella, sesudah mengucapkan puji-pujian kepada Jesus Kristus, menerangkan
tujuan perhimpunan diadakan dan dengan bersungguh-sungguh meminta semua
cendekiawan yang hadir supaya berani dan bersedia untuk berdialog dengan
orang-orang Muslim dan mencuba untuk menarik mereka masuk Kristian.
“Kami
merasa hairan apakah gerangan masalah besar sehingga kami semua disuruh
berkumpul di sini.” kata seorang paderi yang berbadan kurus dan bermuka
cengkung, nada suara seperti mengejek. “Tetapi bila sampai kemari, aku dapati
hanyalah satu perkara remeh saja yang mahu dibincangkan. Panggil saja
orang-orang Muslim itu ke mari sekarang juga dan sesiapa saja di antara kita
dengan mudah boleh menyakinkan mereka.”
Seorang
paderi lain yang bertubuh gemuk dan berkepala bulat dan licin menyampuk.
“Memang benar perkara ini bukanlah besar sangat, kita pun selalu mengadakan
perbincangan dengan orang-orang Muslim. Tapi setelah ada berita tersebar yang
mengatakan orang-orang Kristian tidak dapat menjawab keraguan orang-orang
Muslim maka perkara ini sekarang dapat dianggap sebagai perkara besar dan
penting. Kita patut tetapkan masa untuk perbincangan itu.”
“Besok
hari Ahad dan semua penganut Kristian akan berkumpul di gereja besar. Ada
baiknya kita memanggil mereka esok pagi. Mudah-mudahan Tuhan Jesus memberi
petunjuk kepada mereka.” ujar seorang paderi lain yang kelihatan lebih muda
daripada yang lain.
Cadangan
itu disampuk segera oleh seorang paderi tua yang duduk di sebelah Michael.
“Itu satu cadangan yang baik.” Dia memandang muka Isabella yang sedang duduk
berhadapan dengan Michael.
“Bapamu yang mulia yang memimpin sembahyang di gereja itu mesti ikut hadir
sebab ada kemungkinan kami memerlukan bantuannya sewaktu-waktu. Apatah pula
kamu sendiri yang menjadi perantaraan dalam perbincangan antara kita dengan
orang-orang Muslim.”
Seorang
paderi yang perawakannya gemuk dan pendek menambah, “Bapamu ialah ketua semua
paderi di Sepanyol ini. Tidak ada orang lain yang lebih alim daripadanya
tentang hukum-hukum agama Kristian. Sebab itu kehadiran bapamu amat
diharapkan.”
Pada
waktu itu, Michael, guru Isabella, segera menjawab, “Susah tentu!”
Setelah
berlaku perbincangan yang agak serius, akhirnya dicapai kata sepakat, cadangan
mengadakan dialog dengan orang-orang Muslim itu diterima dengan sebulat suara
dan hari Minggu telah ditetapkan sebagai hari dialog itu diadakan. Atas
permintaan Isabella, Michael telah menulis surat memberi kebenaran kepada Umar
Lahmi untuk masuk ke dalam gereja besar pada hari tersebut.
Waktu
perbincangan itu selesai. Matahari sudah condong ke barat. Isabella dan kedua
sahabatnya meminta diri diikuti Mirano, anak Michael. Mereka berjalan
perlahan-lahan menuju ke taman tempat Umar Lahmi dan Maaz menunggu. Mereka
dapati selain daripada Umar Lahmi dan Maaz ada orang lain pula bersama-sama
mereka. Baru pada petang itulah Umar Lahmi dan Maaz melihat wajah Isabella dari
dekat. Mereka terpegun sejurus lamanya kerana terpesona dengan wajahnya yang
jelita itu. Kedua-duanya mengucapkan ‘Subhanallah!’ di dalam hati, memuji
kebesaran Allah.
Isabella
lalu menyerahkan sendiri surat Michael, gurunya, kepada Maaz. Surat itu segera
dibuka dan dibaca untuk didengar oleh semua yang hadir.
“Kami semua sangat berterima kasih di atas segala susah payah nona.” kata Maaz.
“Andaikata pihak mana saja yang nanti mendapat petunjuk, maka pahalanya pertama
sekali nonalah yang menerimanya.”
“Aku
mendengar nona ini ialah seorang cendekiawan dalam ilmu falsafah Kristian di
samping seorang ahli teologi yang terpelajar. Sesungguhnya pujian yang tinggi
patut kita berikan kepadanya kerana usaha mahu melepaskan kita daripada
‘kemungkaran’.” kata Umar Lahmi kepada teman-temannya.
Isabella agak tersipu-sipu sedikit mendengar puji-pujian Umar Lahmi itu.
Dengan lemah-lembut dia menjawab, “Saya hanyalah seorang hamba hina Tuhan Jesus
Kristus. Terima kasih banyak kerana sudi menerima jemputan kami.”
Salah seorang Muslim yang hadir menyampuk dengan agak keras, “Astagfirullah.
Tengok betapa orang-orang Kristian itu menyekutukan Allah dan memuja Nabi Isa.
Memang benar mereka ini gila. Kalau tidak masakan manusia yang hidup …”
Umar Lahmi dengan cepat memotong cakapnya untuk tidak menimbulkan kegusaran
kepada Isabella.
“Nanti dulu. Tuan secara tidak langsung sudah memulai perdebatan. Perkara itu
akan kita putuskan esok di gereja besar.”
Kemudian dia memandang Isabella. “Nona boleh memberi jaminan kepada para paderi
itu bagi pihak kami bahwa insyaAllah kami akan sampai di gereja esok sesudah
sarapan.”
Isabella
dan sahabat-sahabatnya pun meminta diri meninggalkan tempat itu. Mereka tidak
lagi tunggu sampai matahari terbenam seperti yang seringkali mereka
lakukan.
BAB 4 Pertemuan Pertama
Tidak
lama sesudah Isabella meninggalkan tempat itu, Umar Lahmi, Maaz dan kawan-kawan
mereka yang lain berpisah untuk pulang ke rumah masing-masing. Sesampai di
rumah, mereka mentelaah Kitab Suci Al Quran dan Kitab Injil serta membuat
catatan-catatan perkara yang penting untuk dijadikan bahan yang akan dibahaskan
di dalam pertemuan esok hari. Pada pagi berikutnya iaitu pagi Ahad, berita
tentang pertemuan itu telah tersebar dengan luas di seluruh kota. Orang-orang
Kristian dengan penuh hati-hati membuat persiapan yang teliti terutama di dalam
menghadapi orangramai yang ingin ikut mendengar perbincangan tersebut. Hanya
beberapa orang Islam saja yang dibenarkan masuk ke dalam gereja sedangkan yang
lain-lain terpaksa pulang dengan perasaan kecewa. Umar Lahmi, Maaz dan beberapa
orang cendekiawan Islam dibenarkan masuk sesuai dengan persetujuan yang telah
dibuat lebih awal. Ketika mereka masuk, didapati hampir semua paderi yang
terkemuka di Cordova ada di dalamnya dan sedang sibuk mengerjakan sembahyang.
Tidak
lama kemudian upacara sembahyang itu pun selesai. Paderi-paderi lalu mengambil
tempat duduk di suatu meja panjang yang tersedia, berhadapan dengan Umar Lahmi,
Maaz dan kawan-kawannya. Isabella dengan semua kawan-kawannya pun ikut serta
duduk bersama-sama.
Sesudah
mengucapkan selamat datang dan terima kasih kerana telah menyahut pelawaan
mereka, Michael, guru Isabella membuka pertermuan dengan memperkenalkan
tiap-tiap orang paderi yang ada di meja persidangan itu. Salah seorang daripada
mereka bernama Peter yang terkenal sebagai seorang ahli pengajian Arab dan
kitab-kitab Islam.
“Kami
diberitahu bahwa tuan-tuan mempunyai sedikit keraguan tentang agama Kristian
dan telah bersetuju datang kemari untuk meminta penjelasan daripada kami.
Tuan-tuan juga telah berjanji kalau penjelasan yang kami berikan itu boleh
meyakinkan maka tuan-tuan akan meninggalkan agama Islam dan memeluk agama
Kristian.” kata Michael.
“Kami
sedikit pun tidak merasa ragu tentang kepercayaan dan ajaran-ajaran Kristian
tetapi kami cukup yakin kepercayaan dan ajaran-ajaran itu tidak beralasan.
Dalam pada itu pun jikalau tuan dapat memuaskan hati kami dengan
penjelasan-penjelasan tentang agama tuan yang boleh meyakinkan maka kami
bersedia masuk agama Kristian.”
Mendengar
kata-kata Umar Lahmi itu, Michael lalu berpaling kepada Peter yang kelihatan
lebih tua daripada yang lain. Peter yang sudah menulis banyak buku menentang
agama Islam, dianggap orang yang paling berkebolehan untuk berdebat dengan
orang Islam.
Peter
dengan nada suara orang yang menguasai keadaan berkata, “Saya diberitahu bahwa
bantahan tuan-tuan yang terutama sekali ialah tentang mengapa St Paul telah
mengatakan hukum-hukum agama itu satu kutukan. Tetapi ini adalah satu perkara
remeh dan tida lebih daripada satu isu sampingan saja. Tuan-tuan orang Muslim
dan berimankan Quran dengan sendirinya pendapat tuan-tuan mengenai Tuhan Jesus
Kristus dan agama Kristian mengikuti lunas-lunas Quran.
Umar
Lahmi tersenyum kecil sebelum menjawab, “Saya sudah membuat definisi yang jelas
di dalam surat saya tentang persoalan yang akan kita bincangkan seperti yang
tuan sendiri sudah akui tetapi mengapa pula tuan bawa kepada perkara-perkara
lain? Saya sudah menulis perbincangan ini akan berisar di sekitar hukum-hukum
agama dan kutukan, jadi apa ada bantahan tuan tentang hal itu?”
Peter
masih dengan nada suara yang agak kuat berkata,”Kami akan menjawab pertanyaan
tuan tetapi lebih dulu biarlah kita bincangkan isu-isu yang dasar yang juga
dari Quran tuan-tuan. Bukankah dalam Quran ada mengatakan tentang Tuhan Jesus
Kristus kami sebagai Rohullah, Kalimatullah. Tidakkah ada tersebut di dalamnya
bahwa dia pernah menghidupkan orang yang sudah mati? Jadi, apabila tuan
percayakan Quran bagaimana pula boleh tuan-tuan meragui Tuhan Jesus sebagai
‘Putera Tuhan’?”
“Tuan
telah memulai dengan perbincang yang agak menyimpang yang sedikit pun tidak ada
kena-mengena dengan keraguan yang kami timbulkan.” kata Umar Lahmi. “Apa yang
saya inginkan ialah untuk memahami signifikan hukum-hukum agama dan kutukan.
Andaikata tuan bersedia mahu membincangkannya, silakan. Kalau tidak, kami akan
meninggalkan tempat ini.” Umar Lahmi memandang muka sahabat-sahabatnya dan
mereka semua menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan keputusan itu.
“Saya
mengemukakan Quran kepada tuan ialah supaya isu-isu dasar itu dibincangkan
lebih dulu. Jikalau tuan mahu mengelakkan diri daripada persoalan dasar ini dan
mahu membincangkan isu-isu sampingan, itu bererti tuan tidak dapat
menjawabnya.” kata Peter dengan sikap angkuh.
Umar
Lahmi segera menjawab, “Baiklah, tuan mahu membincangkan isu-isu dasar,
terlepas daripada persoalan agama tuan dan mahu berselindung di balik AlQuran.
Jikalau tuan mahu membincangkan isu-isu dasar, mari kita selesai ini dulu.
Apakah Adam benar-benar ada melakukan satu dosa dan bila kita putuskan dia
benar-benar ada berbuat dosa, maka patutlah kita bincangkan pula apakah dosa
itu diperturunkan dari generasi ke generasi sampai meliputi seluruh umat
manusia. Yakni, kerana dosa Adam itu, semua manusia dengan sendirinya ikut
dibebani dosa? Jika keadaannya benar begitu, kita akan bincangkan bagaimana
noda dosa itu dapat dihapuskan? Kemudian kita bincangkan pula tentang kesucian
Nabi Isa, tentunya menurut Kitab Injil. Sesudah itu tuan mesti buktikan kepada
kami bahwa Jesus itu Tuhan dan hanya dia saja dapat memerdekakan manusia
daripada dosa. Apabila semua ini dapat dijelaskan maka tuan mesti buktikan pula
bahwa Jesus benar disalib dan kerana semua dosa manusia dia telah tinggal
selama tiga hari di dalam neraka. Inilah yang patut dibahaskan dan bukan apa
yang tersebut di dalam AlQuran tentang Nabi Isa.”
“Semua
itu tidak relevan. Tidak ada perhubungannya dengan persoalan.” Peter menampik.
“Apa yang saya maksudkan ialah untuk membuktikan dari Quran sendiri bahwa Jesus
‘Roh Allah’ dan ‘Kalam Allah’ dan telah menghidupkan orang yang sudah mati.
Olehkerana itu, agama Kristian itu benar.”
Umar
Lahmi menjadi tidak senang dengan putar belit paderi tua itu. Masa sudah
berjalan beberapa minit, pokok perbincangan belum juga diperolehi. Dia lalu
memandang kepada Isabella yang sejak perbincangan itu dimulai tidak pernah
melepaskan matanya dari wajah itu.
Sambil menunjuk kepada Isabella, dia berkata, “Sekarang saya tunjuk nona ini
sebagai hakim dan memintanya memberitahu mengapa kami diundang kemari? Nah!
Saudari mesti katakan apa yang telah saya tulis di dalam surat saya dan kenapa
saudari membawa kami kemari?”
Isabella
yang sedang tenggelam di dalam lamunannya itu agak tersentak apabila ditunjuki
Umar Lahmi serupa itu. Pipinya tiba-tiba menjadi merah.
Dengan suara yang rendah tetapi berwibawa, dia menjawab, “Sebenarnya,
perbincangan ini ialah untuk menentukan apakah hukum-hukum agama itu satu
kutukan ataupun tidak. Tetapi keberatan yang dikemukakan oleh bapa suci kami
juga ada kebenarannya. Menurut pendapat saya, mula-mula kita bahaskan dulu
keberatan-keberatan tuan kemudian barulah bapa suci memajukan pula
soalan-soalan tentang Quran.”
Umar
Lahmi mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan pendapat Isabella.
“Nah, saya bersetuju dengan pendapat nona. Sekarang saya buka gelanggang ini
kepada tuan. Saya berjanji bahwa apbila tuan dapat menyelesaikan
keberatan-keberatan kami dengan penjelasan yang meyakinkan, kami dengan tidak
melewatkan waktu membenarkan tuan memajukan soalan-soalan secara umum. Tapi
apabila saya berjanji mahu menganut agama Kristian, saya fikir tidak perlu lagi
kita berbahas panjang-panjang.”
Umar Lahmi menutup kata-katanya itu dengan senyum kecil dan memandang Isabella
dengan ekor matanya. Isabella yang dapat melihat jelingan Umar Lahmi itu merasa
tersindir.
“Baiklah,”
ujar Peter, “sebutlah soalan-soalan tuan dengan jelas bersama-sama dengan
pendirian tuan mengenainya.”
“Tuan
boleh menjawab soalan saya satu persatu, persoalan demi persoalan. Ini akan
menjadi lebih jelas.: kata Umar Lahmi. “Mula-mula, cuba beritahu saya apakah
‘jangan mencuri, jangan membunuh, jangan menimbulkan kesukaran kepada tentangga
dan lain-lainnya’ itu merupakan firman-firman Tuhan dan apakah ada kaitannya
pula dengan hukum-hukum agama?”
“Sudah
tentu. Semua itu ada kaitan dengan undang-undang agama.” jawab Peter dengan
cepat.
“Apakah pula dikri St Paul tentang hukum-hukum agama?” tanya Umar Lahmi lagi.
“Dikri bagaimana? Saya tidak faham.” jawab Peter, mengangkat muka memandang
Umar Lahmi seperti hairan.
“Tuan faham benar-benar perkara itu.” kata Umar Lahmi dengan suara agak keras
sedikit. “Cuma tuan mahu mengelak daripada menjawabnya. Katakan saja bahwa St
Paul telah menganggap hukum-hukum agama itu sebagai satu kutukan.”
“St
Paul menganggap hukum-hukum agama itu sebagai kutukan dari sudut bahwa inti
hukum agama itu adalah bahagian daripada Jesus Kristus dan betapa bodoh apabila
inti ditinggalkan sedangkan kulitnya dikejar-kejar.”
“Begitulah pula yang saya maksudkan.” jawab Umar Lahmi. “St Paul yang
menganggap Jesus sebagai jiwa dan hukum-hukum agama sebagai tubuh telah
mengatakan hukum-hukum agama itu sebagai satu kutukan dan apabila tuan juga
berkata Firman Perjanjian Lama ada kaitannya dengan hukum-hukum agama maka menahan
diri dari membunuh dan berzina juga adalah satu kutukan.”
Mendengar
hujah Umar Lahmi itu, Peter, paderi tua, kelihatan resah sedikit tetapi dia
menjawab dengan satu dalih.
“Perkara ini sebenarnya merupakan satu perkara ghaib dan tuan tidak dapat
memahaminya tanpa bantuan dari ‘Roh Kudus’ dan tidak semestinya pula bahwa
sesuatu problem yang tidak dapat difahami itu merupakan perkara salah. St Paul
telah menganggap hukum-hukum agama secara lahiriahnya satu kutukan dan tidak
pula tertuju kepada semua bentuk hukum agama.”
“Benar. Memang betul St Paul mengatakan hukum-hukum agama pada lahiriahnya satu
kutukan. Sekarang cuba terangkan kepada saya. Jikalau tidak mencuri, tidak
berzina, tidak menganggu keluarga dan lain-lain lagi itu adakah hukum-hukum
agama yang lahiriah atau dalaman, rohaniah dan moral?” tanya Umar Lahmi.
“Tuan hanya menumpukan soalan kepada topik yang sama.” Peter membantah. “Cuba
dengar. Apa yang dikatakan oleh Jesus Kristus adalah lebih baik daripada yang
dikatakan oleh St Paul. Tuhan kami menyuruh kami mengikut Firman-Firman
Perjanjian Lama.*
“
( *sila lihat Injil, Matius Bab 5:19 sampai
Bab 10:25 )“Iaitu
memperoleh keselamatan maka perlu mengikuti Perjanjian Lama juga.” kata Umar
Lahmi. “Kalau sudah memang demikian keadaannya, mengapa pula tuan menimbulkan
perkara penebusan dosa dengan menyalibkan ‘Putera Tuhan’? Iaitu, mengapa
Penebusan Dosa Momok ini apabila Perjanjian Lama perlu diikuti? Apakah perlu
mengikuti Firman-Firman Perjanjian Lama malah sesudah Kristus menebus dosa?”
“Kami tidak tahu apa-apa.” jawab Peter dengan suara perlahan. “Kecuali Tuhan
kami telah mengarahkan kami mengikut Perjanjian Lama. Tetapi keselamatan tidak
dapat diperoleh hanya semata-mata mengikuti Perjanjian Lama tanpa ada penebusan
dosa.”
“Jadi, Nabi Musa, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf, Nabi Nuh dan lain-lain
nabi itu kehilanganlah keselamatan mereka kerana jalan keselamatan mereka
satu-satunya hanya dengan mengikuti hukum-hukum agama?” tanya Umar Lahmi.
“Begitu juga dengan para pengikutnya, keselamatan mereka dicabut.” sambungnya
lagi.
“Sebelum kedatangan Kristus, jalan keselamatan satu-satunya ialah dengan
mengikuti hukum-hukum agama tetapi penebusan dosa oleh Jesus Kristus telah
mengubahnya dan sekarang jalan yang ada hanyalah penebusan dosa.” jawab
Peter.Umar Lahmi tersenyum mendengar jawaban Peter yang berbelit-belit itu. Dia
memandang muka Isabella dan muka itu walaupun kelihatan tenang tetapi sedang
tenggelam dalam satu fikiran yang membingungkan. Umar Lahmi memandang muka Peter,
ditenung matanya.
“Mula-mula tuan menolak apa yang sudah dikatakan oleh St Paul iaitu hukum-hukum
agama bukan satu kutukan kemudian tuan menolak hukum-hukum agama sebagai dasar
keselamatan. Dapatkah tuan mengemukakan kata-kata ‘wali’ yang lain untuk membuktikan
bahwa ucapan St Paul ‘hukum-hukum agama itu satu kutukan’ tidak benar?”
Tiba-tiba
paderi kurus yang bermuka cengkung dari sudut sebelah kiri menyampuk dengan
suara yang lantang.
“Tuan-tuan! Percakapan tentang hal ini adalah perbuatan murtad dan kufur. Semua
yang dibincangkan berkaitan dengan perkara-perkara ghaib. St Paul memang
mengatakan hukum-hukum agama satu kutukan dan kata-kata itu benar tetapi
tuan-tuan tidak dapat memahami perkara-perkara ghaib serupa ini. Jalan
keselamatan kami ialah ketuhanan Kristus dan penebusan dosa kerana Jesus bebas
daripada dosa dan ia penjelmaan Tuhan, yang kerana kesayangan dan perbuatan
baiknya menderita di atas salib sebagai ganti kita semua dan memberi kita
keselamatan.”
“Jangan
itku rasa hati dalam perselisihan persahabatan.” ujar paderi yang bertubuh
gemuk dan berkepala bulat dan licin. Dia duduk di sebelah kanan Peter. “Tuan
sudah mulai menyangkal St Paul.”
“Inilah hasil perbincangan yang tidak benar dan tidak beralasan. Tuan kini
telah mula membicarakan soal ketuhanan dan penebusan dosa.” kata Umar Lahmi.
“Eloklah kita selesaikan lebih dulu perbahasan mengenai hukum-hukum agama dan
kutukan.”
“Kami telah memberikan jawaban yang meyakinkan kepada tuan. Jadi, sekarang kami
berikan masa selama delapan hari untuk tuan beristirehat. Andaikata keraguan
tuan-tuan masih belum dapat dipecahkan pada masa itu, tuan-tuan boleh datang
lagi kemari.” kata Peter.
Umar
Lahmi tidak menghiraukan kata-kata paderi tua itu.
Sebaliknya, dia bertanya, “Tuan tidak menganggap hukum-hukum agama sebagai satu
kutukan dan kolega tuan pula mengatakan ia itu satu kutukan dan St Paul berada
di pihat yang benar. Jadi, mana satu di antara tuan-tuan ini yang benar?”
“Orang yang mengatakan hal ini tidak ada kaitannya dengan misteri agama
Kristian. Jangan tuan pedulikan kata-kata mereka itu.” jawab Peter.
Umar
memandang kepada Isabella.
“Nah, cuba terangkan kepada saya yang mana benar di antara mereka ini dan
apakah St Paul itu silap kerana mengatakan hukum-hukum agama satu kutukan?”
Sekali lagi, Isabella tersentak apabila Umar Lahmi memajukan pertanyaan
kepadanya.
“Saya datang kemari untuk mendengar perbahasan dan bukan untuk ikut campur.
Tapi saya akan meminta kepada guru saya, Bapa Michael, untuk menyelesaikan
masalah ini kerana beliau seorang ilmuwan yang agung dan cendekiawan pula,
kerana sebagai sebahagian daripada tamu-tamu terhormat yang lain saya sendiri
pun belum begitu faham tentang hal ini.”
Kata-kata Isabella itu bagai petir di tengah hari. Semua orang yang hadir di
dalam gereja amat terperanjat mendengarnya, lebih-lebih lagi para paderi yang
duduk di meja persidangan. Mereka memandang muka Isabella dengan pandangan
tajam yang berisi kehairanan. Di tempat para penonton telah timbul keributan
kecil.
Melihat
keadaan yang mula kacau, Michael bangun dan berkata, “Saudara-saudara, kita
semua berhimpun di sini untuk mencari kebenaran dan sesungguhnya ini adalah
satu tugas yang berfaedah. Tetapi untuk tujuan ini, maka perlulah kita
mempunyai hati yang tulus ikhlas dan satu keinginan untuk menerima kebenaran.
Masalah keimanan yang sedemikian itu tidak akan dapat dicapai oleh seseorang
dengan usahanya sendiri tanpa pertolongan Tuhan. Oleh sebab itu, kita harus
berdoa kepada Tuhan dengan setulus hati agar Dia menunjukkan kebenarn kepada
kita melalui bantuan Roh Kudus dan menampakkan kepada kita segala misteri agama
Kristian.”
Michael terpaksa berhenti sejenak kerana dari para hadirin Kristian terdengar
ucapan Amen sedarun. Kemudian dia menyambung semua.
“Saudara-saudara. Apakah hukum-hukum agama itu satu kutukan atau tidak adalah
satu soalan titik-bengik, tidak penting. Persoalan yang sebenarnya ialah
saudara-saudara Muslim kita ini tidak mengetahui tentang kepercayaan Kristian
dan dasar-dasar pokoknya, sebab itulah mereka gemar berpolemik. Intisari agama
kita hanya terletak pada dua kalimat, iaitu ketuhanan Kristus dan penebusan
dosa. Seseorang yang memahami erti kedua kalimat ini maka fahamlah dia semua
rahsia agama Kristian. Betapa sayangnya Tuhan kepada kita sehingga Dia mengirim
putera tunggalnya bagi keselamatan kita untuk memikul semua derita manusia di
dunia ini dan akhir sekali Dia telah dibunuh di atas salib sebagai penebus
semua dosa kita. Oleh sebab itu saya ingin memohon kepada sahabat saya, Umar
Lahmi, dan kawan-kawannya supaya membatalkan saja perbahasan yang sia-sia
mengenai hukum-hukum agama dan kutukan dan memikirkan tentang keperibadian suci
Tuhan Jesus kita dan penebusan dosanya yang tidak ada tolok bandingan. Marilah
masuk agama Kristian.”
Umar
Lahmi merasa gusar dengan ucapan Michael yang sama sekali tidak diduganya itu
lalu dengan segera dia menjawab, “Kami datang kemari bukanlah kerana mahu
bercakap perkara-perkara yang kosong. Kami semua ada prinsip dan kami mahu
membahaskan masalah-masalah dasar. Kami telah pun menjelaskan pokok perbincangan
kita di dalam surat kami dan saudari Isabella ini yang menjadi saksinya. Jadi,
kalau tuan mahu membatalkan pokok persoalan awal kita itu dan mahu
membincangkan entang ketuhanan Kristus dan penebusan dosanya, saya juga
bersedia asal saja tuan tuliskan bahwa kita batalkan masalah hukum-hukum agama
itu dan kita patut bincangkan tentang ketuhanan Kristus dan penebusan dosanya
pula.”
“Kami tidak bermaksud bahwa tuan tidak boleh bincangkan masalah-masalah itu,”
kata Peter berdalih, “cuma kita patut tinggalkan isu-isu sampingan dan
bincangkan masalah-masalah dasar.”
Umar Lahmi mulai jengkel. “Jadi, kenapa tuan-tuan undang kami kemari? Gereja
dan masjid tidak perlu diperbahaskan. Kalau tuan-tuan tidak mahu berbincang,
katakanlah dengan berterus terang supaya masa kami terbuang tidak sia-sia
begini.”
“Tuan sudah salah faham tentang kata-kata Peter Suci. Dia tidak bermaksud kita
tutup terus perbincangan ini. Dia cuma mahu menekankan bahwa
pertanyaan-pertanyaan mengenai masalah dasar yang dapat tuan fikirkan, tuan
kemukakan kepadanya. Tapi sekarang sudah tengah hari dan tuan-tuan mungkin akan
pergi makan. Bila waktu yang sebaik-baiknya tuan-tuan dapat kemari lagi?”
Michael cuba membujuk.
“Sekaranglah
waktu yang sebaik-baiknya.” ujar Umar Lahmi. “Tidak sesiapa yang boleh
menentukan apakah kita akan mendapat kesempatan yang berfaedah seperi ini
lagi.”
“Tapi tuan-tuan akan menunaikan solat?” kata Michael lagi.
“Kami boleh bersolat di gereja ini.” jawab Umar Lahmi.
Peter lalu mencelah. “Saya fikir lebih baik kita berbincang lagi hari Ahad
depan.”
“Saya berpendapat perbincangan ini tidak boleh ditangguhkan terlalu lama.
Mungkin kita mendapat petunjuk dari Allah.” kata Umar Lahmi.
“Baiklah. Kita sambung perbincangan ini esok pada masa yang sama sampai tengah
hari.”
“Jika perbincangan ini mahu ditangguhkan sampai esok,” Isabella tiba-tiba ikut
campur, “tidak usah diberhentikan sampai tengah hari tetapi dilanjutkan
sehingga petang. Barangkali kita boleh sampai kepada sesuatu keputusan.”
Michael segera menjawab, “Sama sekali tidak. Tidakkah kita ada membuat
kerja-kerja lain juga?”
“Saya fikir tidak ada kerja lain yang lebih penting daripada perbincangan ini.”
jawab Isabella, tidak mahu kalah.
Orangramai
mulai bising. Akhirnya, diadakan satu perbincangan kecil di antara para paderi
dan Umar Lahmi serta sahabat-sahabatnya. Mereka membuat keputusan akan
menghentikan perbincangan hari itu sampai di situ saja dan akan disambung
semula esok dari pagi sampai ke tengah hari. Pertemuan yang pertama itu pun
berakhir. Setelah mengucapkan terima kasih kepada semua orang-orang Kristian,
Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya meninggalkan gereja besar.
Isabella
dan para paderi lain masih tinggal sehingga semua hadirin keluar meninggalkan
tempat itu, pulang ke rumah masing-masing.
Setelah orang-orang lain habis keluar, paderi yang berbadan kurus bermuka
cengkung bangun lalu berjalan mendekati Isabella.
“Amat mendukacitakan yang kamu telah memberi kesempatan kepada orang-orang
kafir itu untuk mengemukakan keraguan mereka dan mengejek agama Kristian.”
Belum sempat Isabella menjawab, paderi itu berjalan ke tempat Michael.
“Satu-satunya cara mahu melayani orang-orang murtad itu ialah meletakkan Quran
di hadapan mereka. Peter Suci telah
berbuat serupa itu pada mulanya tetapi malang, mereka
menggelecek keluar dan membahaskan tentang hukum-hukum agama. Kalau esok
terjadi lagi yang serupa, alamat kita akan dikecewakan dengan teruk kerana
mereka tanyakan ialah tentang rahsia ketuhanan yang tidak siapa pun tahu
kecuali wali-wali saja.”
“Sebetulnya perbincangan itu sejak awal lagi telah menyimpang ke saluran salah
kalau tidak mereka telah tunduk oleh Quran mereka sendiri.” kata Michael
menyampuk paderi kurus itu. “Bukankah Quran ada mengatakan yang Tuhan Jesus
kita itu ‘pembawa hidup’ dan menghidupkan semula yang sudah mati? Bukankah
Quran menyebutnya ‘Roh Allah’ dan ‘Kalimat Allah’?
Peter kemudian berkata, “Pokok perbincangan esok hari sudah ditetapkan. Iaitu
mengenai ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Aku dengan licik telah
memesongkan mereka ke pokok persoalan lain tetapi kau, Michael, telah membawa
mereka kembali ke persoalan itu.”
“Tuan jangan salahkan saya. Itu semua perbuatan tuan sendiri.” jawab Michael
menangkis tuduhan paderi tua itu.
“Buat apa lagi kita memuaskan nafsu dengan perbahalan sesama sendiri.” kata
seorang paderi lain. “Kita tunggu esok dalam perbahasan tentang ketuhanan
Jesus. Agama Kristian kita bukan seperti bubur lembutnya boleh ditelan dengan
sekali teguk saja.”
Dia bangun dan meminta diri. Semua paderi pun ikut meminta diri dan meninggalkan
gereja. Mereka pulang ke tempat masing-masing dengan membawa berbagai-bagai
mcam fikiran.
Isabella
dan ketiga orang sahabatnya berjalan di belakan paderi-paderi itu. Dalam masa
berjalan itu, dia berkata kepada sahabat-sahabatnya.
“Cuba kalian lihat. Di belakang orang-orang Muslim, mereka bercakap besar bahwa
orang-orang Muslim tidak akan dapat berhadapan dengan mereka. Tetapi bila duduk
berhadapan, tembelang mereka terdedah semuanya. Aku sangat menyesal bapaku
terpaksa meninggalkan gereja sebaik saja selesai dia memimpin sembahyang kerana
dia terlalu percaya dengan kebolehan dan ilmu Bapa Michael dan Bapa Peter.
Kalau tidak, dia tentu boleh tutup mulut orang-orang Muslim itu.”
“Sebenarnya, masalah itu terlalu berat, apakah bapamu sanggup menghadapinya?”
Salah seorang sahabatnya menyahut.
Seorang lagi mencelah, “Sebenarnya, kepercayaan dan dogma kita terlalu kabur.
Kalau tidak masakan paderi-paderi kita itu terpukul begitu teruk?”
“Minta dijauhkan Tuhan! Baru saja sekali berbahas kamu berdua sudah mula berputus
asa. Kepercayaan kita cukup teguh asasnya tetapi mesti ada seseorang yang boleh
menjelaskannya. Lihat saja esok nanti. Bila ketuhanan Kristus dibahaskan betapa
teruk mereka akan dihentam.”
Mereka
lalu berpisah di persimpangan jalan. Masing-masing pulang ke rumahnya.